Thursday 23 June 2011

Kelayakan Olimpik: Malaysia Cemerlang Menundukkan Lubnan






Skuad Olimpik Malaysia menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Olimpik Lubnan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. Kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Irfan Fazail minit ke-8 dan Wan Zack Haikal minit ke-40.

Malaysia bermain baik di separuh masa pertama dengan hantaran-hantaran yang mudah dan berkesan. Gol pertama terhasil ketika keadaan kelam kabut depan pintu gol berpunca dari sepakan penjuru. Irfan yang mendapat hantaran dari Muslim Ahmad melakukan rembatan volley cantik yang gagal diselamatkan penjaga gol Lubnan.

Gol kedua pula terhasil daripada permainan sepasukan yang sangat baik. Pemain-pemain bertukar-tukar hantaran pendek di tengah padang sebelum Gary Steven melorongkan bola cantik yang menewaskan 3 pemain kepada Wan Zack Haikal. Wan Zack dengan tenang menolak bola menewaskan penjaga gol Lubnan kali kedua malam ini.

Malaysia terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Gary Steven dilayangkan kad kuning kedua pada awal separuh masa kedua. Kelebihan bermain dengan lebih pemain digunakan sepenuhnya Lubnan dan menyerang bertubi-tubi ke pintu gol Malaysia. Akhirnya, mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol dari Chadi Atie minit ke-64. Selepas itu, Malaysia hanya bermain secara bertahan dan cuba untuk mengawal bentang pertahanan berhabis-habisan. Keputusan penuh, Malaysia menang 2-1.

Malaysia dengan ini akan melayakkan diri ke peringkat kumpulan kelayakan Olimpik Zon Asia. Kejayaan ini sememangnya layak diterima semua pemain Malaysia.

Barisan Malaysia:Khairul Fahmi (c), Affizie faizal (Wan Zaharulnizam), Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Zubir Azmi, K. Gurusamy, Gary Steven, Wan Zack Haikal, Fandi Othman, Irfan Fazail (Izzaq Faris), Syahrul Azwari (Shukur Jusoh).kelayakan olimpik

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...